Masalah Yang Sering Dialami

Sebagai kaunselor seharusnya mengambil tahu masalah-masalah yang mungkin dihadapi yang menghalang perlaksanaan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah menengah. Walaupun dipercayai guru yang dipertanggungjawabkan sebagai guru bimbingan atau kaunselor mampu menjalankan tugas dengan baik, tidaklah dapat dinafikan kaunselor akan menghadapi pelbagai rintangan dalam melaksanakan tugasnya.

Mengenalpasti masalah yang bakal dihadapi dapat membantu saya sebagai kaunselor menghadapi rintangan dengan mudah supaya segala perancangan yang dicadangkan dapat berjalan dengan lancar.

Antara masalah yang dihadapi bagi menjalankan program kaunseling di sekolah menengah:

Proses perlantikan
Pada peringkat awal dahulu kuasa melantik guru bimbingan adalah di tangan pengetua sepenuhnya. Sekarang ini kaunselor adalah terdiri dari guru-guru terlatih dalam bidang kaunseling. Ia merupakan jawatan pangkat yang dibayar elaun. Namun demikian jawatan kaunselor sepenuh masa ini, tidak dapat dipenuhi di semua sekolah menengah. Jadi kaunselor terlantik atas budi bicara pengetua. Adakalanya terdapat guru yang tidak berminat dengan jawatan kaunselor dan menganggap ia sebagai satu bebanan. Ini menjadikan proses bimbingan dan kanseling tidak dapat berfungsi dengan baik.

Guru-guru bimbingan yang membantu kaunselor juga terdiri dari guru yang tidak terlatih untuk memainkan peranan sebagai kanselor. Jadi mereka menganggap ia merupakan beban tugas kepada mereka, menjadikan tugas yang sepatutnya membantu tidak dilakukan.

Guru Berpengalaman
Holden (1971) mencadangkan pengalaman mengajar harus diambil kira apabila seseorang guru itu hendak dilantik sebagai kaunselor. Lima tahun pengalaman mengajar merupakan satu cadangan yang baik, kecuali guru itu menunjukkan ciri-ciri personaliti yang istimewa dan mempunyai kualiti yang jelas boleh menjadi guru bimbingan yang baik. Masalahnya terdapat sekolah yang memberi tugas guru bimbingan yang membantu kaunselor adalah guru-guru baru. Jadi kaunselor agak bermasalah untuk melantik guru-guru pembantu menyelesaikan masalah pelajar.

Latihan Profesional
Latihan profesional yang berkaitan seperti latihan dalam bimbingan dan kaunseling, komunikasi atau psikologi adalah merupakan asas yang penting untuk memilih guru bimbingan. Ada antara pengetua yang percaya bahawa guru-guru yang berminat boleh dilantik dahulu, kemudian barulah diberi latihan, tetapi latihan mesti ada (Mizan 1987). Jadi guru bimbingan atau pembantu kaunselor sepatutnya mendapat latihan juga. Kaunselor hanya mampu memberi kursus dalaman, ini tidak mencukupi kepada guru-guru pembantu untuk bertindak memberi perkhidmatan kaunseling.

Umur Kaunselor
Ada berbagai-bagai pendapat tentang umur yang sesuai untuk menjadi kaunselor. Mizan (1987) mendapati pengetua sekolah bandar merasakan guru-guru muda dan cergas adalah lebih sesuai untuk menjadi kaunselor. Ini adalah kerana kurangnya jarak umur antara kaunselor dengan pelajar. Keadaan ini membolehkan kaunselor memahami pelajar dengan lebih baik dan mengurangkan jurang antara generasi. Hal ini akan lebih menimbulkan rasa empati, jika jarak umur jauh guru hilang rasa empati kerana rasa ketinggalan dengan dunia remaja ini.

Pengetua sekolah menengah luar bandar pula merasakan guru dewasa adalah lebih baik dilantik menjadi kaunselor kerana ia dapat mengganti “bapa atau ibu” yang diprlukan oleh pelajar. Masalahnya pula akan menjadi penghalang bagi pelajar-pelajar yang mempunyai masalah dengan ibu bapa mereka sendiri. Keadaan persamaan lingkungan umur antara kaunselor dengan ibu bapa menjadikan berlaku satu reaksi emosi pelajar seolah-olah terasa kaunselor sebagai ibu bapa yang sedang mereka tentang, timbulkan perasaan menolak kaunselor itu.

Etnik
Kumpulan etnik juga harus diambil kira. Walaupun kita telah merdeka lebih 40 tahun, keutuhan budaya bagi setiap etnik itu masih kekal. Banyak perkara yang berlaku dalam kumpulan etnik itu tidak difahami oleh kumpulan etnik yang lain. Oleh itu bagi sekolah-sekolah yang mempunyai pelbagai kaum/etnik, guru-guru pembantu kaunselor yang dilantik haruslah dari ketiga-tiga kumpulan etnik yang besar ini. Perbezaan etnik antara kaunselor dengan pelajar akan menimbulkan masalah perbezaan ruang rujuk yang akan menjejaskan kefahaman dan kurangnya rasa empati di kalangan kaunselor dan pelajar.

Jantina
Walaupun bagi kebanyakan pelajar, jantina guru jarang dipersoalkan. Tetapi, dalam budaya kita, faktor ini harus diambil kira juga. Contohnya, bagi pelajar perempuan terdapat perkara yang agak sulit yang hanya selesa dibincangkan dengan guru perempuan sahaja; begitu juga sebaliknya dengan pelajar lelaki.

Pelajar tidak mengunjungi kaunselor. Pelajar menganggap kaunselor seperti guru-guru lain. Pelajar sering menganggap guru sering mencari kesalahan atau orang yang perlu dihormati. Jadi mereka tidak mahu pergi ke bilik kaunseling atau berjumpa dengan kaunselor. Kaunselor semestinya mempunyai sikap yang mesra dengan pelajar dan sering mengambil peluang menjelaskan kepada pelajar semasa perhimpunan mingguan mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh kaunselor. Kaunselor semestinya merancangkan supaya dirinya dan bilik kaunsleng suatu tempat yang mesra dan mudah bagi pelajar. Jika tidak pelajar tetap tidak melayani perkhimatan yang diberikan.

Itulah antara masalah yang dihadapi oleh kaunselor di sekolah menengah. Masalah lain seperti tempat, pengurusan bimbingan dan kanseling di sekolah tidak harus wujud jika kaunselor benar-benar memainkan peranannya di sekolah.
These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Leave a comment