Rekabentuk Dalaman : Asas Bilik Remaja

Selami keperluan kamar tidur yang turut jadi tempat rehat, belajar dan sudut komputer KEPERLUAN bilik tidur anak-anak hari ini bukan sekadar bertumpu tempat tidur, ruang menyimpan pakaian dan barangan keperluan peribadi saja tetapi turut menjadi tempat mereka menelaah pelajaran. Justeru, kelengkapan wajib seperti komputer misalnya, menjadi sebahagian keperluan harian bagi pembelajaran.

Kepentingan menyediakan persekitaran dalaman selesa membantu meningkatkan keupayaan mereka berfikir. Menerusi elemen dalaman memberangsangkan berserta barangan kegunaan harian, secara tidak langsung mereka dilatih untuk menitik beratkan kebersihan, disiplin selain apresiasi terhadap keindahan juga aspek penyelenggaraan agar persekitaran kekal tersusun serta bersih sepanjang masa.

Saiz dan Ruang

Keluasan terhad adalah masalah utama menyediakan persekitaran serba lengkap bagi anak-anak. Bagi perbincangan kali ini, tumpuan kepada kediaman teres yang dikenal pasti mempunyai paling ramai pemilik di negara ini. Secara asasnya, bilik tidur utama menawarkan pelan lantai lebih luas berbanding bilik tidur lain yang amat sempit serta tidak memadai untuk keperluan asas bilik anak bujang lelaki atau perempuan.

Lebih memburukkan keadaan, bilik ideal didiami seorang terpaksa dihuni dua orang atau lebih, sekali gus mustahil untuk menzahirkan hiasan dalaman selesa lagi menyenangkan. Bagi kediaman banglo, masalah seumpamanya tidak timbul, namun menghadapi kesukaran disebabkan ruang terlalu luas dan susun atur tidak sesuai.

Bilik tidur berfungsi sebagai tempat belajar sepatutnya bersifat kondusif bagi memberi motivasi buat mereka mengulangkaji dan membaca buku di rumah. Ini menyebabkan komputer dan kelengkapan belajar yang lain sangat penting. Sekiranya saiz ruang terhad maka mana patut diletak semua peralatan ini. Masalah sepertinya dikatakan amat kronik bagi rumah pangsa kos rendah yang dihuni bilangan ahli keluarga purata melebihi tiga orang.

Kualiti Ruang

Menerusi seni bina rumah teres sekarang, didapati sejumlah besarnya tidak melalui proses pemikiran serta analisis aspek keperluan serta budaya hidup pengguna ruang. Ini bertentangan prinsip yang mengusulkan perekabentuk ruang dan pemaju projek perumahan memberikan suatu reka bentuk asas yang menjawab kepada keperluan serta kehendak pengguna.

Malah, sesetengah pemaju projek perumahan tidak memainkan peranan langsung dalam permasalahan ruang melainkan hanya memberikan penekanan terhadap kelainan dari segi kosmetik yang tidak memberi sebarang makna selain terlalu terikut-ikut pengaruh luar.

Sebaliknya, mereka ini hanya menghancurkan martabat identiti tempatan yang sepatutnya dibanggakan dan dipertahankan. Rumah ala tudor, Mediteranean, English, Perancis dan sebagainya hanya menambahkan kos rumah namun tidak memberikan penyelesaian masalah ruang yang lebih nyata dan serius. Sesetengah arkitek pula tidak mempunyai pendirian tegas dan gagal menepis selera tidak munasabah serta sikap mementing keuntungan pemaju.

Pemilik Jadi Mangsa

Kebanyakan pemilik rumah terpaksa menjalankan pengubahsuaian reka bentuk bagi menjadikannya lebih selesa didiami. Perbelanjaan besar dikeluarkan bahkan kadangkala hampir 50 peratus keluasan asal rumah perlu dikorbankan.

Maka, apakah usaha kita selanjutnya? Pemaju serta arkitek juga adalah pemilik rumah dan mereka sepatutnya berusaha mencari jalan untuk menangani masalah ini. Mereka boleh merujuk beberapa negara maju yang melaksanakan konsep ruang modular yang fleksibel selain mengubahsuai kediaman mengikut keperluan siang dan malam.

Tidak bolehkah kita menghasilkan suatu atur asas ruang yang boleh menjawab persoalan saiz, keperluan ruang penyimpanan, pengudaraan dan perkara lain berkaitan kualiti ruang berkenaan. Hasilnya pengubahsuaian secara besar-besaran dapat dielakkan manakala penumpuan idea serta belanjawan boleh disalurkan kepada pengisian ruang yang lebih memberi faedah dari aspek pembangunan minda, spiritual dan keselesaan fizikal.

INFO : Keperluan Bilik Remaja
  • Bina rak penyimpanan secukupnya bagi mengelak barang keperluan berselerak dan tidak tersusun.
  • Susun atur katil sepatutnya sama ada berada di tengah ruang atau rapat ke dinding. Bagi dua penghuni dalam dalam satu bilik, dicadangkan menggunakan katil dua tingkat atau katil jenis berlapis yang boleh ditarik di bahagian bawahnya . Ini mampu menjimatkan ruang.
  • Kedudukan meja belajar dan membaca di dalam bilik tidur perlu strategik dan harus melahirkan suasana segar dan cerah dengan cahaya semula jadi. Wujudkan sudut membaca dan menulis tepi tingkap.
  • · Gunakan kemasan dinding warna ceria bagi menggambarkan kesan dinamik dan progresif sesuai umur remaja mereka. Namun, harus berhati hati kerana jika tidak dikawal berupaya memberi tekanan kepada pengguna ruang secara tidak langsung.
  • Oleh kerana anak remaja cepat terpengaruh dengan perkembangan semasa terutama soal perkembangan muzik, filem dan sukan maka benarkan mereka menampal poster idola mereka di dinding. Maka, sediakan papan lembut atau putih untuk mereka menampal gambar serta membuat catatan.
  • Sediakan pencahayaan yang cukup terutama lampu am pada siling dan lampu membaca di meja belajar. Sementara, kipas siling diletakkan merujuk ketinggian sesuai dan soket elektrik bukan saja mencukupi tetapi diletakkan berdekatan meja belajar untuk disambungkan kepada peralatan komputer dan perkakasan elektrik yang lain.
Sumber : Berita Harian Online
These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Leave a comment